SHAH ALAM – Cadbury memperkenalkan resipi inovasi terbaharu bagi produk jenama coklat terkemuka itu di pasaran domestik dan luar negara.
Sambil mengekalkan keunikan klasiknya, coklat Cadbury kini lebih berkrim dan diperkayakan lagi dengan rasa koko.
Ketua Pemasaran Mondelez International (Malaysia/Singapura), See Mei Sin berkata, pihaknya melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir dua tahun bagi menghasilkan resepi terbaik itu.
Menurut beliau, semua produk coklatnya kekal dengan rasa Cadbury Dairy Milk namun telah ditambah baik bagi memenuhi citarasa pelanggan, terutama di negara ini.
“Jenama kami bertapak di Malaysia selama lebih 75 tahun dan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan rakyat tempatan.
“Resipi baharu coklat ini telah berada di pasaran sejak April lalu dan ia mendapat sambutan positif pelanggan,” katanya pada sesi lawatan media di ibu pejabat Cadbury di sini, baru-baru ini.
Pada program berkenaan, lebih 20 pengamal media dibawa meninjau proses pengoperasian dan penghasilan produk coklat di kilang syarikat.
Turut diadakan ialah pelancaran rasmi resepi inovasi tersebut, bersama-sama varian coklat terbaharu Cadbury bersaiz King, seberat 200 gram.
Jelas Mei Sin, pihaknya bakal menjelajah setiap negeri bermula 1 Julai hingga 31 Ogos depan bertujuan menjalin hubungan erat bersama komuniti menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti interaktif, sekali gus mempromosikan coklat jenama Cadbury.
“Kami juga akan terus meneroka inovasi dan resipi baharu bagi menepati kehendak pelanggan masa kini,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya menghasilkan sebanyak 14,000 tan metrik coklat setahun, dengan anggaran 100 juta unit bagi pasaran domestik dan eksport.