LIVERPOOL – Liverpool semakin hampir mendapatkan khidmat pemain pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi sekali gus membuktikan langkah agresif mereka pada jendela perpindahan kali ini.
Difahamkan, rundingan bersama Palace dan wakil pemain berusia 24 tahun itu bakal dimuktamadkan dalam tempoh 24 jam selepas Guehi hanya berbaki setahun kontrak di Selhurst Park dan enggan menyambungnya.
Palace meletakkan tanda harga sekitar £70 juta (RM405 juta), namun bersedia menerima tawaran lebih rendah iaitu sekitar £40 juta (RM231 juta), memandangkan Chelsea masih memiliki klausa jualan semula sebanyak 20 peratus daripada perpindahan.
Guehi turut dikaitkan dengan Newcastle dan Tottenham, bagaimanapun Liverpool kini mendahului persaingan dengan kejayaan menamatkan musim sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) memberi kelebihan kepada skuad kendalian Arne Slot.
Setakat ini, The Reds sudah berbelanja lebih RM1 bilion untuk membawa masuk Florian Wirtz (RM672 juta), Milos Kerkez (RM231 juta) dan Jeremie Frimpong (RM173.9 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang selepas sudah mengumpul 23 kaps bersama England, serta dijangka berada dalam skuad Piala Dunia 2026 pimpinan Thomas Tuchel.
Dalam masa sama, Jarell Quansah bakal dilepaskan ke Bayer Leverkusen susulan kekurangan minit permainan, manakala masa depan Ibrahima Konate masih belum diputuskan apabila kontraknya tamat tahun depan.
Jika perpindahan itu berjaya dimuktamadkan, Liverpool dijangka memiliki tiga pertahanan tengah utama iaitu Guehi, Konate dan Virgil van Dijk dengan kekuatan seimbang antara pengalaman dan usia muda. – AGENSI