MANCHESTER – Manchester United dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat pemain tengah Atalanta, Ederson yang dianggap calon paling sesuai untuk memperkukuhkan jentera tengah pasukan kendalian Michael Carrick musim depan.
Pemain antarabangsa Brazil berusia 26 tahun itu dilihat memiliki pakej lengkap yang diperlukan United ketika mereka bersedia melakukan rombakan besar di bahagian tengah susulan pemergian Casemiro dan prestasi kurang konsisten Manuel Ugarte.
Bekas jurulatihnya, Tiago Nunes percaya kelebihan terbesar Ederson adalah keupayaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai corak permainan selain mampu beraksi dalam beberapa peranan berbeza.
“Saya fikir dia memiliki ciri-ciri untuk bermain dalam sistem yang lebih terancang atau permainan berasaskan transisi.
“Dia mampu menghubungkan permainan dan memahami ruang dengan baik dalam situasi sempit, selain mempunyai keupayaan fizikal untuk bermain pada tempo tinggi,” katanya.
Sepanjang bersama Atalanta, Ederson membuktikan versatiliti dimilikinya apabila berjaya membentuk gandingan mantap bersama pemain berprofil berbeza seperti Teun Koopmeiners dan Marten de Roon.
Prestasi cemerlang bersama Atalanta termasuk membantu kelab itu menjulang trofi Liga Europa musim lalu menjadikan Ederson antara pemain paling bernilai di Eropah ketika ini, dengan ramai percaya dia memiliki segala ramuan untuk menyerlah di Liga Perdana Inggeris. – AGENSI














