fbpx
ARTETA dianggap calon terbaik mengemudi Real selepas kejayaan membantu Arsenal menamatkan penantian panjang menjulang gelaran EPL. - AFP

EPL: Real buat Arsenal hilang tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Calon presiden Real Madrid, Enrique Riquelme mahu memujuk pengendali Arsenal, Mikel Arteta untuk menjadi jurulatih The Galacticos sekiranya berjaya menewaskan Florentino Perez dalam Kongres Pemilihan Presiden, 7 Jun ini.

Pilihan raya tersebut diumumkan secara mengejut oleh Perez selepas Real melalui dua musim berturut-turut tanpa sebarang trofi utama, sekali gus membuka ruang kepada Riquelme untuk merebut kerusi panas di Santiago Bernabeu itu.

Riquelme yang berusia 37 tahun sebelum ini mendedahkan sudah mempunyai persetujuan lisan dengan seorang jurulatih bertaraf dunia yang masih terikat kontrak bersama kelab lain, tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Kini, laporan media tempatan mendakwa Arteta calon utama pilihan Riquelme terutama selepas berjaya menamatkan penantian panjang Arsenal untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selain Arteta, bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp turut dikaitkan dengan jawatan yang ditinggalkan oleh Alvaro Arbeloa musim ini.

“Pihak kami sedang menilai profil jurulatih terbaik dunia, individu yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan untuk mengendalikan kelab sebesar Real.

“Saya tidak boleh katakan sama ada mereka (Arteta atau Klopp) pilihan kami atau tidak ketika ini. Perbincangan sedang dikendalikan oleh pasukan teknikal projek kami dan saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut,” katanya.

Selain agenda mencari jurulatih baharu, Riquelme turut memberi bayangan bahawa sekurang-kurangnya dua pemain bertaraf bintang bakal diumumkan sebagai sebahagian daripada manifestonya pada minggu ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN