SUNGAI PETANI -Tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu membunyikan hon, seorang pembonceng motosikal memukul sebuah kereta menggunakan joran di Jalan Pantai Prai, Sidam Kiri di sini petang semalam.
Tindakan remaja terbabit menyebabkan pemandu kereta berkenaan memarahinya dan mengugut untuk menyebarkan tindakan biadab remaja itu di media sosial.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah kereta membunyikan hon selepas mendapati dua remaja menunggang motosikal dalam keadaan beriringan sehingga menyukarkannya memotong ketika melalui jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.
“Ya kita ada melihat klip video berkenaan melalui Facebook Penduduk Sungai Petani dan difahamkan kejadian berlaku di Jalan Pantai Prai,Sidam Kiri di sini petang semalam, namun polis belum menerima laporan daripada mana-mana pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE