KUALA SELANGOR – Seorang bayi lelaki berusia seminggu ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Kampung Api-Api, Bukit Rotan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, penemuan bayi dilaporkan kira-kira pukul 9.11 malam selepas menerima panggilan daripada Hospital Sungai Buloh.
Katanya, hasil siasatan mendapati bayi tersebut dijumpai dalam beg plastik di lokasi kejadian oleh orang awam.
“Pemeriksaan mendapati bayi dalam keadaan cukup sifat dengan berat 2.13 kilogram.
“Dianggarkan usia bayi itu adalah kira-kira seminggu dalam keadaan tali pusat masih sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, bayi tersebut kini ditempatkan di Hospital Tanjong Karang bagi tujuan pemeriksaan.
Sehubungan itu, kata Azaharudin, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Mazliah Azizi ditalian 017-6649100 atau Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-32891222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE