RAUB – Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub, di sini hari ini selepas didapati bersalah menceroboh tanah milik kerajaan Negeri Pahang di Sungai Cherpai, Bentong.
Tertuduh, Cheng Choon Foo, 48, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noor Zaihan Mohamad Ali. Mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, ketika serbuan kira-kira pukul 11.05 pagi pada 30 November 2023 anggota penguat kuasa operasi terjumpa satu simpanan stok pasir serta kawasan pengorekan pasir sungai di kawasan disyaki tanah kerajaan.
Tertuduh yang mengaku sebagai pengusaha pasir di kawasan tersebut telah menunjukkan satu dokumen permit 4B kepada anggota serbuan, namun, setelah disemak, kawasan korekan pasir tersebut berada di luar daripada permit diluluskan.
Hasil semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mendapati tiada sebarang kebenaran diberikan kepada tertuduh dan koordinat lokasi serbuan tidak berada di dalam mana-mana tanah yang diukur halus.
Noor Zaihan dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan dua buah jengkaut dan sebuah lori yang disita pada masa kejadian dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang dan dikembalikan kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang untuk dilupuskan. – KOSMO! ONLINE