KUALA TERENGGANU – Skop program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) akan diperluas bukan sahaja memberi pengalaman interatif kepada murid dan pelajar sekolah untuk memahami sejarah malah kebudayaan nasional menjelang tahun 2027.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, buat masa ini, program anjuran Jabatan Muzium dengan kerjasama Kementerian Pelajaran tersebut hanya memberi tumpuan untuk memperkukuh pemahaman sejarah terhadap golongan muda terbabit.
“Kita akan memperluaskan lagi tidak hanya terhadap kepada sejarah (negara) semata-mata malah identiti kebudayaan nasional seperti makanan, pakaian dan muzik.
“Ia bertujuan agar generasi muda kita lebih memahami budaya merentasi kaum (di negara ini),” katanya selepas merasmikan IPIM di Muzium Negeri Terengganu di sini semalam.
Program yang dijalankan secara serentak di 41 muzium itu melibatkan penyertaan 1,680 murid dan pelajar sekolah di seluruh negara.
Saraswathy berkata, IPIM merupakan salah satu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sejarah secara lebih interaktif menggunakan koleksi dan artifak muzium.
Beliau berkata, program IPIM membolehkan murid dan pelajar sekolah terlibat menjalani sesi PdP dalam tempoh dua hingga empat jam di dalam muzium dipilih.
“Program luar bilik darjah ini memberi kesedaran kepada murid dan pelajar sekolah tentang kepentingan mempelajari sejarah sebagai satu mata pelajaran penting dalam pendidikan.
“Kementerian Perpaduan Negara juga berharap ia dapat memupuk semangat kenegaraan, jati diri dan patriotik dalam kalangan generasi muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE