BEIJING – Sebuah pusat beli-belah di wilayah Guizhou, barat daya China dinaik air dengan pantas ketika rantau itu berdepan paras banjir tertinggi dalam beberapa dekad, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Kejadian berlaku di pusat beli-belah terbesar dekat daerah Rongjiang.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan air mengalir deras dari tingkat atas sehingga mencetuskan pemandangan seperti air terjun.
Pelbagai objek termasuk pakaian dan kerusi kelihatan terapung sambil dibawa arus deras.
Rakaman video lain pula memaparkan detik cemas apabila beberapa kenderaan dihanyutkan ke kawasan parkir bawah tanah bersama pemandu di dalam kereta.
Amaran dikeluarkan pada Jumaat lepas apabila hujan lebat berterusan menyebabkan paras air di Sungai Rongjiang meningkat kepada 114.6 meter.
Rongjiang yang menempatkan kira-kira 300,000 penduduk itu tidak pernah berdepan paras banjir tertinggi dalam tempoh 30 tahun, demikian menurut akhbar China Daily. – AGENSI