fbpx

Zamani bersungguh kumpul duit kahwin tapi tidak kesampaian – Bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Proton Wira yang dinaiki dua mangsa dalam terlibat dalam kemalangan pagi tadi.

MELAKA – “Zamani baru berniaga dengan tunang, rancang nak kahwin hujung tahun ni. Dia tengah kumpul duit, tapi tak sempat,”.

Itu luahan pilu Mohd. Nazery Awang, 53, bapa kepada Muhammad Nur Zamani, 28, yang maut dalam kemalangan di Jalan Persisiran Pantai Klebang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, kereta Proton Wira yang dipandu Zamani terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan berhampiran lampu isyarat Hospital Oriental.

Kejadian itu menyebabkan Zamani serta seorang lagi rakannya, Muhammad Haziq, 25, yang turut menaiki kenderaan itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurut Mohd. Nazery, anak sulung daripada lima beradik itu sebelum ini bekerja kontrak dalam bidang pendawaian dan berhenti kerana mahu berniaga bersama tunangnya di Pantai Klebang.

“Dia usaha cari rezeki sendiri, berniaga makanan dengan tunang dia dan saya tahu dia tengah bersungguh kumpul duit nak kahwin hujung tahun ini.

“Sebelum keluar pagi tadi, arwah ada kata nak pergi sarapan dengan tunang dia, tapi tak sangka pula dia ada ajak kawan dia seorang lagi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka.

Sementara itu, bapa Muhammad Haziq, Norazman Salim, 45, pula berkata anak bongsunya itu baru mendapat pekerjaan di sebuah kilang air di Batu Berendam dan dijadual mula bekerja pada 1 Julai ini.

“Pagi tadi dia salam mak dia dan kata nak keluar sarapan dengan kawan tetapi tak beritahu pergi mana, tak sangka itu kali terakhir kami jumpa dia.

“Daripada rumah, dia naik motosikal, mungkin selepas itu dia tumpang rakannya naik kereta bersama,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI