MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dilapor akan menggugurkan empat pemain pada aksi pramusim pasukan itu kerana dianggap tidak selari dengan perancangannya pada musim baharu nanti.
Menurut laporan, Amorim tidak keberatan untuk mengambil sikap tegas terhadap ‘kuartet’ Marcus Rashford, Jadon Sancho, Antony dan Alejandro Garnacho ketika semua mereka telah diberitahu untuk mencari kelab baharu.
“Amorim semakin mengukuhkan kuasanya di kelab ini, sekarang dia berpeluang membentuk pasukan mengikut imejnya.
“Dia juga mahu skuad yang lebih kecil untuk mewujudkan ikatan pasukan yang bik supaya semua orang mendapat masa permainan yang mencukupi dan berada pada tahap kecergasan terbaik apabila dipanggil,” kata sumber kelab itu.
Setakat ini, United telah membawa masuk penyerang Wolverhampton Wanderes, Matheus Cunha, namun mereka tidak akan menamatkan aktiviti di pasaran perpindahan apabila perlu mendapatkan beberapa lagi pemain untuk mengubah nasib mereka musim depan.
Dalam pada itu, Rashford yang menunjukkan prestasi cemerlang ketika dipinjamkan ke Aston Villa, dilaporkan berminat untuk menyertai Barcelona, namun perpindahan itu semakin samar susulan kehadiran Nico Williams dari Athletic Bilbao.
Sancho pula dikatakan hampir menyertai juara Serie A, Napoli bersama Garnacho yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan Chelsea.
United juga dilaporkan meletakkan harga sekitar €35 juta (RM176 juta) ke atas Antony yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke Bayer Leverkusen di bawah kendalian bekas pengurus Manchester United, Erik Ten Hag. – AGENSI