fbpx
Ismail ketika menandatangani akuan sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini. Foto NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

Mandat rakyat bukan penghormatan, tetapi amanah – Ismail Lasim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim berikrar untuk melaksanakan amanah mentadbir negeri dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab selepas menerima kepercayaan memimpin kerajaan negeri.

Beliau berkata, pelantikan sebagai Menteri Besar bukan satu kemuliaan yang boleh dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang perlu digalas dengan kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan penuh rasa tanggungjawab demi agama, bangsa, negeri serta seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Patik menyedari bahawa kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan, sebaliknya merupakan satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan. Patik amat menyedari bahawa amanah ini bukanlah suatu kemuliaan yang boleh dibanggakan, sebaliknya merupakan suatu tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Tuanku Besar Mahmud selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz serta institusi Raja Berperlembagaan yang disifatkannya sebagai payung kedaulatan, lambang penyatuan rakyat dan tonggak kestabilan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN