LIPIS – Selepas seminggu bertarung nyawa, seorang lagi mangsa kemalangan tragis membabitkan kereta dan lori di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, di sini pada Jumaat lalu maut tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Zahra Zafira Azman, 3, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira pukul 12.10 tengah hari akibat kecederaan otak yang teruk (severe traumatic brain injury).
“Mangsa adalah penumpang tempat duduk belakang. Abang sulungnya, Aqif Azfar Azman yang berusia enam tahun dan saudara mereka, Roslawati Mat Daud, 50, maut di lokasi kejadian.
“Tiga hari kemudian, anak Roslawati, Puteri Nur Arisya Mohd. Zilidham berusia tujuh tahun turut meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, Zahra antara lapan ahli keluarga yang menaiki kereta dari Klang, Selangor menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi menziarahi saudara mereka yang uzur.
Ismail berkata, kereta dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori sarat muatan perabot yang berhenti di bahu jalan selepas pemandunya dikatakan mahu membuang air kecil.
Sementara itu, ibu saudara Zahra, Nurul Sahadar Che Nuh, 29, ketika dihubungi berkata, mereka reda dengan pemergian anak bongsu daripada tiga beradik tersebut dan menganggapnya sebagai ujian Allah.
“Doktor memaklumkan Zahra alami kecederaan teruk di kepala dan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana terlalu berisiko.
“Abang saya (Azman Che Nuh) kini hanya tinggal seorang anak iaitu Zarif Zafran yang berusia lima tahun. Dia dan isterinya masih dirawat di Hospital Kuala Lipis kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Tambah Nurul Sahadar, jenazah Zahra dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Karangan, Kuala Krai, Kelantan dan dikebumikan bersebelahan kubur abangnya, Aqif. – KOSMO! ONLINE