JAKARTA – Seorang suami di Indonesia menjadi perhatian pengguna media sosial kerana ‘menyerahkan’ isterinya kepada kekasih gelap wanita itu di hadapan keluarga mentuanya, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, lelaki berkenaan, isterinya, kekasih wanita tersebut dan sejumlah ahli keluarga dilihat duduk di dalam sebuah rumah.
Lelaki yang identitinya tidak dinyatakan itu melafazkan talak ke atas isterinya sambil disaksikan orang lain.
Dia kemudian ‘menyerahkan’ isterinya kepada kekasih gelap wanita itu sambil berkata: “Kuserahkan isteriku kepadamu, tolong jaga dia baik-baik. Jangan lakukan perkara sama ke atasnya dan kahwinilah dia.”
Teman lelaki isterinya kemudian memohon maaf sebelum memeluk si suami.
Dalam masa sama, si isteri dilihat menangis dengan riak wajah yang penuh penyesalan.
Tidak dinyatakan lokasi kejadian, namun video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Menangislah sepuas-puasnya kak kerana anda tidak akan menemui lagi lelaki seperti suami anda,” kata seorang netizen.
“Hormat pada lelaki ini. Dia mempunyai hati yang ikhlas. Semoga diangkat darjatnya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI