SEPANG – Hasrat seorang lelaki tempatan untuk bercuti ke sebuah negara Eropah bukan hanya terbantut akibat rekod senarai hitam, sebaliknya pemeriksaan ke atas bagasinya menemui dadah jenis ganja.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhammad berkata, suspek sebelum itu ditahan pada 17 April lalu di KLIA Terminal 1 oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana mempunyai rekod senarai hitam.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan bagasi menemui dadah jenis bunga ganja seberat 14,653.20 gram bernilai hampir RM1.44 juta.
“Siasatan mendapati, dadah itu dimasukkan ke dalam plastik kedap udara bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan cuba diseludup keluar menggunakan bagasi dan didaftar masuk secara bagasi daftar masuk,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, ketika imbasan dilakukan, suspek cuba melarikan diri namun, digagalkan oleh anggota kastam yang bertugas. – KOSMO! ONLINE