CALIFORNIA – Atletico Madrid sudah tidak sabar untuk menguji kemampuan juara baharu Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Kumpulan B Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Rose Bowl awal pagi esok.
Penyerang Atletico, Antoine Griezmann melaungkan keyakinan dia dan rakan sepasukan mampu untuk melakar kejutan dengan menewaskan skuad kendalian Luis Enrique itu meskipun mereka kini dianggap pasukan terbaik Eropah.
Griezmann berkata, mereka pernah menewaskan PSG pada fasa liga saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini dan tidak mustahil mampu mengulangi keputusan sama pada kempen CWC 2025.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah ini saingan Piala Dunia Kelab pertama. Dapat menyertai kejohanan seperti ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan untuk saya dan kelab.
“Saya sudah tidak sabar untuk bermain pada perlawanan pertama menentang PSG kerana mereka memiliki corak permainan cukup baik. Bagaimanapun, saya yakin kami mampu untuk membuat mereka terluka,” katanya.
Pada masa sama, penyerang Perancis itu turut menjelaskan, kehadiran Atletico bukanlah sekadar pelengkap jadual memandangkan mereka memasang impian untuk melangkah jauh selain cuba menjadi juara.
“Kami harap ia akan jadi satu penyertaan yang berbaloi kerana kami mahu hadiahkan sesuatu kepada peminat. Kami ada impian yang cukup besar, iaitu untuk melangkah ke perlawanan akhir,” ujar Griezmann. – AGENSI