CALIFORNIA – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique melaungkan amaran pasukannya sudah bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025.
Turun dengan status sebagai juara Eropah, PSG pastinya dianggap sebagai pasukan pilihan menjelang aksi Kumpulan B menentang Atletico Madrid di Stadium Rose Bowl awal pagi esok.
Enrique berkata, beliau sangat arif dengan kemampuan Atletico memandangkan kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini yang memihak kepada pasukan La Liga itu, bukannya PSG.
“Kami akan memulakan kempen CWC 2025 dengan bertemu salah satu pasukan gergasi Eropah iaitu Atletico Madrid. Kedua-dua pasukan saling mengenali antara satu sama lain dan ia pasti menjadi aksi sukar.
“Walaupun sedar dengan cabaran bakal dihadapi tetapi saya menaruh sepenuh keyakinan terhadap barisan pemain PSG. Mereka sudah bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan,” katanya.
Enrique juga memberi gambaran juara Ligue 1 itu masih dahagakan kemenangan apabila mahu melakar sejarah baharu menjadi pasukan pertama memenangi pertandingan yang dianjurkan buat julung kali itu.
“Kami sudah mencipta sejarah dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama, jadi ini adalah satu lagi peluang untuk kami merekodkan pencapaian menjadi pasukan pertama menjulang trofi CWC,” ujarnya. – AGENSI