PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka bilik gerakan susulan insiden kemalangan maut membabitkan sejumlah pelajar institusi pendidikan tinggi tersebut pagi ini.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam satu kenyataan media berkata, sebarang maklumat boleh diperoleh dengan menghubungi talian pejabat 05-4507148 atau talian hotline 019-571 9977.
“UPSI telah menerima laporan awal mengenai satu kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar UPSI dalam sebuah bas persiaran yang dilaporkan berlaku di kawasan Gerik, Perak.
“Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara tersebut. Pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-samna mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.
“UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 15 individu dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik, pagi tadi.
Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE