KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025 tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani hari ini.
Dalam paksi suku akhir di Istora Senayan, Jakarta itu, pasangan utama negara terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 21-9, 19-21 selepas menempuh pertarungan selama 57 minit.
Izzuddin mengakui mereka gagal mengawal tekanan pada saat-saat genting, sekali gus memberi kelebihan kepada pasangan Indonesia itu untuk mencuri mata kemenangan.
“Kami agak gementar di penghujung perlawanan. Mereka pula lebih tenang dan berjaya mengawal emosi dengan lebih baik,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, Sze Fei turut mengakui status sebagai beregu utama negara membawa bersama tekanan yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.
“Tekanan sentiasa ada, namun ia bergantung kepada bagaimana kami menguruskan situasi itu dalam gelanggang,” ujarnya.
Selepas ini, beregu profesional negara itu akan melakukan persiapan terbaik apabila dijadual menyertai dua kejohanan utama iaitu Terbuka Jepun pada 15 hingga 20 Julai dan Terbuka China (22-27 Julai). –KOSMO! ONLINE