PETALING JAYA – Pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, hari ini antara lain membincangkan tentang pengukuhan hubungan dua negara itu.
Perdana Menteri berkata, antara isu lain yang disentuh adalah usaha-usaha menarik pelaburan asing yang berkualiti serta berimpak tinggi dari negara berkenaan.
“Pagi tadi saya menerima kunjungan hormat Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang baharu dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
“Antara yang disentuh adalah soal pengukuhan hubungan Malaysia dan AS selain usaha-usaha menarik pelaburan asing yang berkualiti serta berimpak tinggi dari negara berkenaan.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Muhammad Shahrul, semoga dapat mengangkat aspirasi, imej serta reputasi Malaysia ke peringkat tertinggi,” tulisnya di media sosial.
Terdahulu, pada 3 Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Duta Besar Malaysia ke AS kepada Muhammad Shahrul Ikram.
Muhammad Shahrul Ikram yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatan pada 8 Februari lepas.
Muhammad Shahrul Ikram anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi daripada Universiti Malaya, serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar pada 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 6 Jan 2019 hingga 31 Mei 2022. – KOSMO! ONLINE.














