IPOH – Tindakan sebuah tapak pembinaan di mukim Belanja di daerah Kinta di sini menyimpan 2,000 liter minyak diesel tanpa permit mengundang padah apabila ia diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan ke atas tapak pembinaan tersebut dilakukan sepasukan anggota dan pegawai KPDN Perak pada pukul 11 pagi.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tapak pembinaan tersebut mendapati sebanyak 2,000 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam dua buah kontena pukal pertengahan (IBC) di premis tersebut.
“Seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak pembinaan didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita dua buah IBC yang berisi cecair disyaki minyak diesel sebanyak 2,000 liter dan pam minyak.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM6,540.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE