fbpx
KEMALANGAN yang melibatkan rakyat Malaysia dan Thailand di Ban Prik, Sadao pada Januari lalu.

Masuk Thailand walaupun letih, tak cukup tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHANGLUN – Tidak faham budaya memandu di negara jiran dan sindrom tertidur tanpa sedar atau microsleep dikenal pasti antara punca kemalangan membabitkan rakyat Malaysia di Thailand yang memaksa mereka membayar ganti rugi besar.

Microsleep ialah satu keadaan apabila seseorang tertidur secara tidak sedar untuk tempoh yang sangat singkat disebabkan keletihan atau kurang tidur yang kronik.

Pengarah Urusan GoThai.my Sdn. Bhd., Mohd. Shafiq Johari berkata, dua faktor itu biasanya menjadi alasan pemandu yang terlibat dalam kemalangan ketika berada di Thailand.

Katanya, lebih separuh kes kemalangan yang dikendalikan syarikat insurans miliknya di­sebabkan microsleep yang berpunca akibat keletihan memandu dalam jarak jauh.

“Sebagai contoh, ada yang ­te­rus melakukan pemanduan pada sebelah malam selepas pulang bekerja iaitu dari Lembah Klang sehingga ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

MOHD. SHAFIQ

“Mereka kemudian perlu me­lalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam seterusnya pemeriksaan imigresen oleh pihak Thailand,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan bercuti di negara orang boleh mengundang petaka sekiranya terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa.

Di Thailand misalnya, rakyat asing yang terbabit dalam nahas jalan raya perlu berdepan tindakan mahkamah termasuk penjara se­kiranya didapati cuai selain tuntutan ganti rugi daripada mang­sa dan keluarga yang terlibat.

Sebagai contoh, terdapat rakyat Malaysia berdepan tuntutan ganti rugi RM293,066 selepas terbabit nahas yang meragut dua nyawa di negara jiran hujung tahun lalu.

Menurut Mohd. Shafiq, jika pada musim cuti sekolah atau cuti umum, mereka perlu beratur panjang dan mungkin bersesak di sempadan sehingga tiga jam kerana ramai yang mahu masuk ke Thailand.

“Seterusnya mereka perlu memandu di Thailand dan dalam keadaan yang letih, pemandu berisiko mengalami microsleep dan terlibat kemalangan. Biasa­nya mereka terbabas sendiri dan tidak melibatkan pemandu lain,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Thailand perlu membuat persiapan awal dan tidak terburu-buru untuk masuk ke negara Gajah Putih itu.

“Rancang perjalanan dengan baik dan dapatkan rehat yang mencukupi. Jika letih, mereka boleh menginap dahulu di sekitar sempadan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN