JAKARTA – Seorang wanita sarat mengandung meninggal dunia selepas dibaham seekor buaya ketika sibuk memasak di dalam rumahnya yang ditenggelami banjir di Indonesia, lapor portal berita Mail Online semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) di Nunukan, wilayah Kalimantan Utara pada Selasa lepas.
Mangsa yang dikenali sebagai Munirah, 28, digigit pada bahagian kaki ketika memasak hidangan tengah hari di dapur rumahnya.
Jeritannya yang kuat menyebabkan adik mangsa, Ana Maria bergegas mencari senjata untuk membunuh reptilia itu.
Ana bagaimanapun terlambat selepas mendapati badan mangsa telah diseret ke dalam air.
Penduduk tempatan segera melakukan pencarian di Sungai Mambulu sebelum menemui mayat Munirah terapung di dalam air banjir.
Ketua Polis Sembakung, AKP Supriadi berkata: “Mangsa diseret keluar dari dapurnya dan mati lemas.
“Dia hamil lapan bulan dan tidak mempunyai kekuatan untuk melawan buaya itu,” tambah Supriadi. – AGENSI