PETALING JAYA – “Lagu kedua saya, Tanpa Dendam Dihati milik Tokti. Saya pun Sitizoners.”
Demikian pengakuan terbuka penyanyi Nadeera yang terlalu meminati Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mengadakan showcase An Evening With Nadeera, semalam.
Berkongsi lebih lanjut, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 32, mendedahkan meminati Siti sejak kecil.
“Saya memang peminat Datuk Siti sebab ketika usia saya 3 tahun, Cindai adalah lagu pertama keluar dari mulut saya.
“Saya ingat lagi setiap kali dengar lagu Cindai mesti akan berjoget. Biasalah budak-budak,” katanya usai menjayakan showcase terbabit.
Memilih karya Tanpa Dendam Dihati, Nadeera mengakui sangat menyukai bait lirik lagu tersebut.
“Kenapa saya bawa lagu Tanpa Dendam Dihati, sebab saya suka dengan lirik karya berkenaan.
“Kita hayati lirik, walaupun orang jahat dengan kita, buat apa pun sebelum ini, tapi saya tak ada rasa dendam.
“Biarlah, apa orang nak buat,” ujarnya lagi seakan-akan meluahkan isi hati.
Bagaimanapun, pelantun lagu Emas itu menafikan bahawa lirik dari karya tersebut ada kaitan dengan dirinya.
“Tak ada (kisah sendiri). Tiada yang jahat, semua orang baik,” tuturnya.
Semalam, Nadeera merealisasikan Showcase An Evening With Nadeera yang dihadiri 350 penonton di Pusat Pemeran Kesenian Petaling Jaya (PJPAC).
Nadeera mendendangkan 10 buah termasuk beberapa karya miliknya. – KOSMO! ONLINE