TAK kenal, maka tak cinta. Itulah jawapan sebahagian besar penggemar burung baji apabila ditanya mengenai hobi membela spesies daripada genus Melopsiyyacus tersebut. Unggas yang memiliki rupa paras dan bulu cantik itu dikenali sebagai budgerigar liar di Australia.
Bersandarkan catatan sejarah, burung baji mula popular sekitar tahun 1700 apabila ditangkap, diternak dalam sangkar, dibiak dan dilatih sebagai haiwan kesayangan penduduk di negara berkenaan.
Orang Kelantan yang terkenal memiliki pelbagai hobi dan mainan menghiburkan turut memelihara burung berkenaan untuk menyertai pelbagai pertandingan.
Satu-satunya kelab burung baji di negeri itu ialah Brotherhoodbudgie Kelantan yang aktif menganjurkan pertandingan sama ada di rumah ahli atau di pasar raya besar sekitar Kota Bharu.
Seorang penternak burung baji di Kampung Kubang Golok, Bachok, Mohd. Hud Hakkam Abdul Rahim, 30, berkata, cintanya terhadap burung baji berputik sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Menurutnya, dia mula memelihara lapan ekor burung baji pada tahun 2022 kerana hobi yang diminatinya itu memerlukan modal besar untuk mendapatkan baka cantik.
“Harga seekor induk burung baji adalah antara RM100 hingga RM2,000.
“Malah, ada yang boleh mencecah sehingga RM3,000 bagi gred A yang memiliki tekstur menyerlah dan manja.

“Pada peringkat permulaan, saya mampu membela burung gred C yang harganya sekitar RM10 hingga RM15 seekor,” katanya ketika ditemui K-Remaja baru-baru ini.
Tambah pemuda yang mesra disapa Hud Hakkam itu, dia mendalami ilmu membela burung baji terlebih dahulu bagi mengelak risiko kerugian.
Katanya, ia termasuk menyediakan lokasi dan ‘rumah’ yang selesa dari aspek suhu dan humidity, penyediaan makanan, vitamin serta kawalan kebersihan.
Menariknya, dia membina sebuah tempat seperti rumah bernilai RM17,000 dan sangkar dengan kos RM2,600.
Dalam rumah itu, terdapat 24 sangkar yang lengkap dengan bekas makanan dan minuman.
“Perbelanjaan bulanan makanan hanya RM140 bagi 60 ekor burung baji yang saya pelihara. Reban atau rumah burung saya ini berukuran 8.8 meter lebar dan tiga meter panjang yang dinamakan Reban Seribu Peluru (RSP).
“Ia lengkap dengan pencahayaan elektrik dan penyedut udara (exzos fan).
“Pengunjung yang datang melawat diwajibkan membuka kasut sebelum masuk ke rumah demi menjaga kebersihan,” katanya.
Hud Hakkam memberitahu, dia pernah menanggung kerugian apabila sebilangan burung baji peliharaannya mati disebabkan angin sejuk sepanjang musim tengkujuh.
“Habitat asal burung ini adalah di kawasan kering. Justeru, ia memerlukan perlindungan ketika musim Monsun Timur Laut supaya tidak terdedah kepada angin lembap dan hujan,” katanya yang merupakan seorang jurulatih di sebuah kelab taekwondo di Kelantan.
Dalam bab pemilihan diet untuk burung baji, dia memaklumkan, ia sama seperti sekoi putih dan merah serta canary seed.
Menurut Hud Hakkam, roti Gardenia, eeg food dan suplemen tambahan seperti calvilux mampu menyubur serta mencantikkan bulu burung bulu baji.














