KAJANG – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi melaksanakan 563 projek penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia tahun ini, menerusi proses cabutan undi yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, di sini, pagi tadi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan tersebut merangkumi kerja penyelenggaraan berkala bagi laluan berturap dan tidak berturap di jalan-jalan Persekutuan.
“Hari ini, kita telah adakan proses cabutan undi secara serentak hampir di seluruh negeri Semenanjung Malaysia kecuali Zon Utara yang akan diadakan pada 5 dan 6 Jun hadapan.
“Pelaksanaan cabutan undi ini bukan sahaja mempercepatkan kerja penyenggaraan tetapi bagi memastikan kesemua kontraktor mendapat peluang sama rata.
“Bagi memastikan pemilihan adil, kontraktor yang telah dapat pada tahun lepas secara automatik tidak layak untuk diundi pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di bawah Program Mempercepat Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Gred G1 hingga G4 pagi tadi.
Beliau menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan peruntukan, RM275 juta melibatkan 245 kerja penyelenggaraan bagi laluan berturap manakala RM75 juta diperuntukkan untuk 318 kerja penyelenggaraan laluan tidak berturap.
“Zon Timur Tengah bakal melaksanakan sebanyak 301 kerja penyenggaraan melibatkan kedua-dua jenis laluan manakala bagi Zon Selatan 99 kerja dan Zon Utara 163 jumlah kerja.
“Kerja-kerja penyenggaraan jalan termasuk pembinaan semula jalan, mengecat semula garisan jalan, membaik pulih papan tanda, pembinaan roadkerb, menaik taraf longkang serta kerja-kerja berkaitan,” ujarnya.
Ahmad turut menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan kontraktor yang terpilih menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik bagi mengelakkan sebarang masalah.
“Kita telah menyenarai pendek senarai kontraktor yang kita anggap berkeupayaan. Jadi, mereka (kontraktor) yang dapat ini adalah yang kiya yakin mereka boleh melaksanakan tugas yang diberikan,” tambahnya.
Tambahnya, semua kerja penyelenggaraan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan. -KOSMO! ONLINE