fbpx

Pilih PJH berdaftar, elak diperdaya visa Mujamalah tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar (kiri) ketika ditemui di Pejabat PJH, Abraj Al Janadriyah, Mekah pada Jumaat lalu.

MEKAH – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa scam melalui promosi visa haji Mujamalah yang semakin rancak dirawarkan di media sosial kebelakangan ini.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, seperti yang ramai sedia maklum Visa Mujamalah adalah visa haji yang dikurniakan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada orang perseorangan atau agensi-agensi tertentu.

Menurut beliau, sehubungan itu bagi penerima visa tersebut dinasihatkan supaya memilih mana-mana daripada 37 syarikat pelancongan umrah dan haji yang dilantik sebagai PJH oleh Tabung Haji (TH) bagi menjamin kebajikan dan urusan haji mereka dapat dilakukan dengan lebih baik.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini kerana ada pihak-pihak tertentu sedang mempromosikan melalui media-media sosial kononnya mereka ada visa-visa Mujamalah ini.

“Jadi saya sangat mengharapkan mereka yang berada di luar sana supaya berhati-hati. Sebab jika mereka tidak berhati-hati, mereka boleh terjebak dengan scammer. Pertamanya, kalau tuan-tuan dapat lihat iklan berkaitan dengan visa-visa tertentu ini sila rujuk melalui laman web TH,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan wartawan berhubung kemunculan banyak iklan tawaran pakej haji yang kononnya menggunakan visa Mujamalah bermula harga RM50,000 dan boleh mencecah RM100,000 kebelakangan ini.

Pakej tersebut juga dikatakan memberi peluang kepada individu untuk menunaikan haji tanpa memerlukan seseorang individu menunggu giliran.

Jelas beliau, setakat ini hanya 37 PJH yang dilantik oleh TH untuk menguruskan haji dan jika selain daripada itu ia adalah amat meragukan.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan menerima Visa Mujamalah boleh memilih antara 37 PJH dilantik. Sekiranya ditawarkan oleh bukan daripada PJH tersebut ia sangat berbahaya. Kita tak tahu, kita tak ada jaminan sama ada benda itu betul ataupun tidak.

“Kita berharap orang-orang di luar sana supaya berhati-hati bila ada tawaran. Kalau terlampau murah sangat pun, kena berhati-hati juga. Kalau terlampau mahal sangat pun, kena berhati-hati juga,” nasihatnya.

Ujarnya, jika dahulu untuk membuat sebarang iklan, mereka perlu mengeluarkannya menerusi media arus perdana seperti radio dan akhbar.

“Namun kini untuk mengiklankan terlalu mudah kerana kita ada Facebook, TikTok, X, Instagram dan sebagainya. Sesiapa pun boleh buat iklan. Sekiranya anda kononnya ditawarkan, sila rujuk dengan TH. Adakah agensi ini berdaftar ataupun tidak?,” katanya.

Tegasnya, hanya agensi berdaftar yang boleh menguruskan haji dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Tabung Haji kalau syarikat-syarikat ini yang mempromosikan, membuat pengiklanan.

“TH juga mengedarkan maklumat serta infografik supaya rakyat Malaysia tidak membuat kesilapan dan kesalahan dalam memilih syarikat-syarikat untuk melaksanakan ibadat haji,” tambahnya.

Visa Mujamalah yang dikeluarkan oleh Arab Saudi tersebut tidak termasuk dalam kuota haji rasmi yang diperuntukkan kerajaan negara itu kepada Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI