ISKANDAR PUTERI – MCA Johor menafikan sekeras-kerasnya kesahihan satu senarai nama calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tular di media sosial semalam.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, senarai yang dikaitkan dengan parti itu, khususnya melibatkan kerusi-kerusi yang ditandingi MCA, tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana saluran rasmi parti.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan rakyat serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN).
“Sebagai Timbalan Pengerusi MCA Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai senarai tersebut. MCA tidak pernah mengeluarkan surat atau dokumen seperti yang ditularkan itu.
“Ini mungkin ciptaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Musim pilihan raya sememangnya menyaksikan pelbagai spekulasi dan dokumen palsu disebarkan untuk mencetuskan kekeliruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Johor 2026 di sini hari ini.
Tian Soon turut menggesa orang ramai agar hanya merujuk kepada platform rasmi parti atau pengumuman daripada kepimpinan BN dan kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
Dalam pada itu, ADUN Yong Peng itu memaklumkan MCA telah mengenal pasti senarai calon lebih awal dan menyerahkannya kepada kepimpinan BN untuk proses penilaian serta keputusan muktamad.
“MCA telah mengemukakan cadangan calon kepada BN. Keputusan akhir berhubung calon dan pembahagian kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti serta kepimpinan BN,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan berkata, cadangan calon MCA dibuat berdasarkan 15 kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini, dengan senarai berkenaan merangkumi calon daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan muda, pemimpin berpengalaman serta wanita.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan bahawa konvensyen parti yang sebelum ini dijadualkan pada 14 Jun telah ditangguhkan dan pihaknya fokus dengan Majlis Pelancaran Jentera BN yang akan diadakan pada 7 Jun ini. – KOSMO! ONLINE














