Dalam beberapa hari lagi, 31,600 jemaah haji Malaysia akan mula pulang ke tanah air secara berperingkat setelah selesai menunaikan ibadah itu dengan sempurna di Tanah Suci.
Semoga semuanya dikurniakan haji yang mabrur dan selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Cabaran berikutnya selepas ini ialah usaha untuk mengekalkan kemabruran haji dan amalan-amalan baik seperti sepanjang berada di Tanah Suci termasuk menjaga solat berjemaah di masjid, menjaga tutur kata atau sifat pemurah setelah kembali ke kampung.
Apapun kita mengucapkan selamat pulang ke tanah air kepada semua 31,600 jemaah haji terbabit.
Di sebalik kegembiraan itu, terdengar pula kerungsingan dalam kalangan bakal-bakal haji pada tahun-tahun berikutnya. Syarat-syarat kesihatan dan kemampuan kewangan ketat yang ditetapkan Tabung Haji telah menyebabkan ada yang berasa bimbang mengenai peluang mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Kerungsingan itu terserlah dalam kalangan B40 yang telah berusia terutamanya yang lewat mendaftar dan giliran haji mereka masih lagi jauh, sedangkan usia sudah lanjut.
Kerana keinginan yang amat sangat ke Tanah Suci, mereka ingin sekali untuk membuat rayuan agar dipertimbangkan untuk diberi peluang lebih awal.
Bagaimanapun, dilemanya ialah, jika mereka membuat rayuan, mereka terpaksa membayar kos haji muasasah pada harga penuh RM33,300 dan bukan lagi mengikut kategori B40 yang hanya RM15,000.
Ini kerana, TH telah menetapkan mana-mana jemaah yang membuat rayuan perlu membuat bayaran penuh RM33,300 tanpa mengikut kategori jika terpilih menunaikan haji.
Bagi mereka, situasi itu seolah-olah menjadikan peluang untuk ke Tanah Suci semakin sukar dan tipis pada masa hadapan kerana tidak mampu menyediakan RM33,300 jika rayuan berjaya.
Sedangkan jika mereka menunggu giliran dan berhasrat untuk ke Mekah pada kadar RM15,000 untuk B40 dengan usia lanjut mereka sekarang, rasanya ia seperti tidak akan mungkin berlaku.
Pihak TH pasti maklum akan situasi ini dan elok rasanya TH pertimbangkan atau fikirkan cara supaya golongan yang telah berusia tetapi masih sihat tubuh badan dari kategori B40 agar diberi kelonggaran membayar pada kadar B40 walaupun dia termasuk dalam kategori rayuan.
Kita faham bahawa ibadah haji hanya wajib kepada mereka yang bekemampuan tetapi kepada golongan telah berusia daripada golongan ini seharusnya diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Bagi golongan B40 yang masih muda rasanya tidak mengapalah jika mereka dikenakan bayaran penuh jika membuat rayuan.
Hakikatnya kini, kos haji akan terus meningkat saban tahun dan bakal jemaah haji tidak kiralah daripada kategori mana sekalipun baik B40, M40 mahupun T20 harus melakukan persediaan lebih awal terutaman dari segi kewangan dan fizikal agar impian menunaikan haji akan terus kekal dalam jangkauan jutaan umat Islam di negara ini.














