fbpx

MAIWP salur lebih RM59 juta kepada NGO untuk pembangunan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM59 juta kepada Setiausaha Agung Kehormat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Mohd. Yusof Noor pada Majlis Ramah Mesra bersama NGO dan Rakan Strategik MAIWP di Menara MAIWP Kuala Lumpur. Turut serta Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (kiri).

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM59,350,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi berkaitan di bawah Kluster Pembangunan Ummah dalam usaha menyantuni masyarakat memerlukan khususnya asnaf tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, NGO memainkan peranan penting sebagai rakan lapangan yang mampu mendekati komuniti secara langsung dan memahami keperluan sebenar mereka.

Jelasnya, NGO juga diharap mampu menjadi ‘mata dan telinga’ bagi mencapai sudut tersembunyi dan ruang yang sukar didekati MAIWP.

“Di bawah MAIWP terdapat Unit Jejak Asnaf untuk menjejaki asnaf yang memerlukan, namun ada keterbatasan kerana tidak begitu ramai staf di unit tersebut.

“Untuk memanfaatkan zakat kepada seramai mungkin asnaf yang memerlukan, kita tak mampu untuk lakukan secara sendirian dan memerlukan kerjasama pihak NGO dan rakan-rakan strategik.

“Harapan saya, semoga NGO ini akan dapat memanfaatkan peruntukan diberikan untuk disampaikan kepada penerima dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan dan mungkin di luar,” katanya.

Mohd. Na’im (duduk tengah) bergambar bersama wakil-wakil NGO.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama NGO dan Rakan Strategik Tahun 2025 di Menara MAIWP, Kuala Lumpur semalam.

Sebanyak 50 NGO turut sama memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Fauzi Abidin.

Pada 2024, MAIWP menyalurkan sebanyak RM49,307,710 kepada NGO serta institusi, dan agihan kali ini sebagai tanda komitmen berterusan bagi membiayai program-program kesejahteraan dan kebajikan asnaf menerusi kerjasama strategik tersebut.

Sehingga 21 Mei lalu, MAIWP mengagihkan RM399,231,579 dana zakat menerusi pelbagai skim bantuan menerusi enam kluster utama iaitu Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan dan Pembangunan Ummah, selain program dan inisiatif berterusan dalam membantu kelangsungan dan pembangunan asnaf di ibu negara, Putrajaya dan Labuan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI