IPOH – Seramai 25 belia asnaf ditaja Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengikuti Kursus Kelasi Kapal (Deck & Enjin) dalam Bidang Perkapalan di Institut Latihan Pendidikan Ranaco di Terengganu.
Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman berkata, tajaan berkenaan merupakan langkah pihaknya bagi memperkukuh komitmen mereka dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Dengan kos RM18,800 bagi setiap peserta, pelaburan ini mencerminkan iltizam MAIPk untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri, sekali gus membuka laluan kepada kehidupan yang lebih mampan dan sejahtera.
“Sepanjang tiga bulan, para peserta akan mengikuti latihan profesional di Institut Latihan Pendidikan Ranaco, Chukai, Terengganu,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pelepasan peserta berkenaan di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, program itu merangkumi latihan teori dan amali, pensijilan profesional serta Lesen Pelaut, yang merupakan antara syarat utama untuk menceburi industri perkapalan.
Beliau berkata, TVET bukan sekadar platform pembangunan kemahiran, malah menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi golongan asnaf.
“Sejurus menamatkan latihan, para peserta akan terus ditempatkan bekerja dalam industri perkapalan, sekali gus memperoleh peluang membina kerjaya profesional, meningkatkan kompetensi serta menikmati prospek pendapatan yang lebih baik.
“Semoga semua peserta berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang dan seterusnya menjadi tenaga kerja profesional yang berintegriti, berdaya saing serta mampu mengubah masa depan diri dan keluarga melalui laluan TVET,” katanya. – KOSMO! ONLINE














