fbpx
Popping kebiasaannya menjadi agenda utama pemancing yang berkunjung ke Tukun Perak

Jengah perairan Tukun Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dahulu Pulau Perak atau Tukun Perak merupakan lokasi yang cukup popular buat pemancing dan tempat wajib terutamanya buat penggemar teknik popping. Bagaimanakah keadaan pancingannya sekarang?

Terletak lebih kurang 93 batu nautika dari Sungai Petani, Kedah, Tukun Perak merupakan sebuah pulau paling hujung di bahagian Barat Daya Semenanjung Malaysia. Pulau terpencil ini diletakkan di bawah kawal selia Tentera Laut Diraja Malaysia.

Uniknya, Tukun Perak terletak di antara pertembungan dua arus dari Lautan Hindi dan Andaman, sekali gus menjadikannya kaya dengan ­­­kepel­ba-
gaian biodiversiti.

Masih saya ingat, suatu ketika dahulu, Tukun Perak kerap menghiasi halaman muka depan majalah memancing, malah Allahyarham bapa saya juga pernah sampai ke sini ketika dia aktif memancing dahulu.

Namun, selepas tsunami melanda negara pada 26 Disember 2004, keadaan struktur geologi di lautan berubah, Tukun Perak juga tidak terkecuali. Ia diburukkan lagi dengan penangkapan menggunakan pukat yang tidak terkawal kurang 20 batu nautika di sekitarnya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Tukun Perak mendapat perhatian semula buat pemancing, khususnya yang gemarkan teknik popping.

Tenggiri yang membedal jig.

Baru-baru ini, saya bersama 13 orang sahabat menyertai trip empat hari tiga malam. Kami memilih perkhidmatan bot KKN Sea Hunt Drezqi 5 yang dimiliki oleh Ku Khairul Nizam atau lebih dikenali sebagai Pak Ku. Hal ini disebabkan saiz bot yang besar, selain dilengkapi dengan kemudahan tempat tidur berpendingin hawa.

Walaupun demam, namun saya gagahkan juga pergi ke sini kerana ia merupakan salah satu lokasi memancing yang saya idamkan untuk sampai.

Alun padu

Beberapa hari sebelum trip, Pak Ku memaklumkan keadaan angin agak kuat, sama ada trip ditunda atau dibatalkan. Disebabkan ramai antara kami agak sukar untuk mengatur cuti, maka kami memutuskan untuk meneruskan trip.

Kami bertolak dari jeti Pekan Baru Sungai Petani. Sepanjang perjalanan menuju ke unjam pertama, kami dilambung ombak setinggi hampir empat meter sehingga menyebabkan dua pertiga daripada kami ‘tumbang’.

Bot bergerak dengan kelajuan 10 knot dan memakan masa hampir enam jam untuk sampai ke unjam pertama. Tiba sahaja di unjam pertama, kami terus menurunkan apollo untuk mencari umpan buat pancingan dasar di sebelah malam.

Di sini, ikan umpan seperti sardin, selar dan kembung rakus menyambar mata apollo. Awak-awak bot, Caen sempat menaikkan seekor aruan tasik bersaiz kasar dengan menggunakan jig di sini.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke beberapa unjam lagi untuk mengumpul ikan umpan sebelum berhenti berlabuh pada malam pertama seterusnya memberi ruang untuk pancingan dasar.

Hanya beberapa jenis ikan sahaja yang sudi menyambar umpan pada malam itu, antaranya ikan yu sirip hitam, jenahak, timun dan mayong.

Hari kedua

Perjalanan ke destinasi utama diteruskan, setelah mengharungi perjalanan hampir lapan jam, kami akhirnya sampai di Tukun Perak sekitar pukul 4 petang.

Lokasi pancingan yang rapat ke batu, ini merupakan drop-off yang dalam.

Masing-masing yang pada mulanya tewas, kini bersiap sedia dengan peralatan ‘tempur’ ma­­sing-masing.

Suasana agak meriah pada waktu itu, Apit berjaya menjinakkan seekor tenggiri lapan kilogram buat pertama kali dalam hidupnya menggunakan jig berat 150 gram. Menambah keterujaan buatnya, seekor ebek seberat enam kilogram tewas dengan set-up sama pada petang itu.

Tongkol dan gerepoh atau GT bujang antara yang kerap membantai kepingan jig. Sambaran semakin berkurangan apabila matahari mulai terbenam, seterusnya bot menurunkan sauh untuk bermalam.

Sempat saya berborak bersama Pak Ku. Menurutnya, jika bernasib baik, spesies ikan pemangsa seperti dogtooth tuna atau GT kerbau akan menyambar umpan pada waktu malam.

Namun, malam itu sedikit sunyi, hanya set pancingan dasar Shahrul yang disambar padu, ikan tidak dapat dikawal, walaupun drag telah diketatkan maksimum.

Popping awal pagi

Awal pagi merupakan waktu yang sesuai untuk popping. Adi yang setia dengan teknik popping dari semalam akhirnya membuahkan hasil apabila seekor GT membantai stickbait 180 gram yang dibaling ke arah dinding batu pulau.

Walaupun selepas itu ramai yang bertukar kepada popping, namun tiada satu pun sambaran yang mendebarkan terjadi, sekali gus menyebabkan kami beralih semula kepada jigging.

Tidak banyak hentaman yang diterima, alun juga seakan tidak memberi kerjasama ketika itu. Hanya Azhar berjaya menaikkan dua ekor GT bujang dengan jig bewarna perak berat 150 gram.

Pulang

Kami memutuskan untuk bergerak pulang, saya yang tidur awal sebelum itu, terjaga pada pukul 2 pagi. Sepanjang perjalanan, kami singgah di beberapa unjam untuk menambah hasil ikan untuk dibawa pulang.

Dalam kedinginan malam di­sertai hujan agak lebat, sempat saya memancing dengan teknik dasar menggunakan set pancing elektrik.

Sebaik sahaja umpan potongan tongkol mencecah dasar, segera ia disambar dan hasilnya kerapu bersaiz hidangan berjaya ditewaskan.

Pak Ku yang mengambil tempat di belakang saya berjaya menaikkan kerapu, seterusnya ikan tambak, baji, timun dan jenahak antara yang tewas pada pagi itu.

Disebabkan angin dan alun semakin kuat, maka kami terus bergerak untuk pulang ke darat.

Walaupun hasil tidak begitu memberangsangkan, ditambah kesihatan yang tidak mengizinkan, namun saya tetap berpuas hati apabila berjaya sampai ke tempat legenda ini. Sekurang-kurangnya jika orang tanya kepada saya mengenai Tukun Perak, ada juga kisah yang boleh disembangkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN