fbpx

Bakal bapa, pemotong ayam didenda RM15,000 jadi keldai akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD SYARIF (depan) dan Rezuan Hafeez didenda RM15,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini kerana mengaku salah menjual akaun pada scammer pelaburan, 2 Disember tahun lalu.

MUAR – Seorang lelaki bakal bergelar bapa antara dua individu masing-masing dikenakan denda RM15,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual akaun kepada sindiket penipuan pelaburan, tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Syarif Anas Mohamad Noor, 28, yang bakal menimang cahaya mata sulung dan Mohd Rezuan Hafeez Kassim, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM36,200 ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama syarikat.

Mohamad Syarif bekerja operator kilang manakala Rezuan Hafeez sebagai pemotong ayam di pasar raya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Tangkak, dekat sini, pada 2 Disember tahun lalu.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM150,000.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh membuka akaun bank di Kuala Lumpur selepas tertarik iklan berkenaan sewaan akaun melalui Facebook.

Kedua-dua tertuduh juga menyerahkan maklumat peribadi kepada sindiket terbabit bagi tujuan pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada masa sama, sindiket terbabit juga berjanji membayar RM2,000 setiap seorang jika membenarkan akaun itu disewa kepadanya.

Siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh turut terbabit dalam beberapa lagi kes antaranya Johor Bahru dan Kulai dengan mereka akan didakwa dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak menerima bayaran dijanjikan sebaliknya akaun mereka digunakan untuk menipu seorang lelaki berkaitan pelaburan saham yang tidak wujud.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI