LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuhkan keupayaan operasi maritim negara menerusi pemeteraian beberapa perjanjian strategik perolehan yang bernilai hampir RM1.19 bilion.
Pemeteraian perjanjian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dilakukan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman hadir menandatangani kontrak perolehan bersama syarikat terlibat dengan disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian.
Ketua Pengarah Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan APMM dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
“Perjanjian yang ditandatangani ini melibatkan pembelian Kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) daripada Desan Shipyard bernilai RM300 juta dan penyelenggaraan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di Semenanjung Malaysia oleh AMP Corporation (M) Sdn. Bhd. bernilai RM59.45 juta.
“Ia juga melibatkan perolehan empat helikopter medium lift melalui Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM529.66 juta,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, turut dimeterai ialah Surat Hasrat (LOI) bagi penyiapan dua buah Offshore Patrol Vessel (OPV 2 dan OPV 3) oleh Shin Yang Shipyard Sdn. Bhd., dengan nilai projek mencecah RM298.5 juta.
Mohd Rosli pada masa sama menegaskan bahawa APMM sentiasa komited untuk meningkatkan keupayaan aset dan sistem pemantauan demi menjamin keselamatan perairan negara.
“Perolehan ini akan membantu melicinkan operasi dan mempercepatkan respons terhadap sebarang ancaman atau kecemasan di laut,” ujarnya.
Tambahnya, kapal dan helikopter baharu yang bakal diperoleh itu akan meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh, operasi penguatkuasaan serta misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan Zon Maritim Malaysia. – KOSMO! ONLINE