fbpx
Johari

Malaysia terus runding dengan AS, perjanjian ART belum diluluskan secara rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kepentingan negara terus dipelihara, meskipun Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara kedua-dua negara masih belum diluluskan secara rasmi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan memilih pendekatan rundingan kerana hubungan perdagangan Malaysia-AS memberi impak besar kepada ekonomi negara serta daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.

“Perjanjian ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang dimeterai pada 26 Oktober tahun lalu masih belum diratifikasi (diluluskan secara rasmi) oleh kedua-dua pihak.

“Kerajaan melalui MITI akan meneruskan rundingan dengan pihak Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bagi memastikan kepentingan dan pandangan Malaysia diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status terkini pelaksanaan ART antara Malaysia dan AS.

Johari berkata, perkembangan itu berlaku selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat (SCOTUS) pada 20 Februari lalu memutuskan bahawa tarif timbal balas yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Susulan keputusan itu, katanya, kerajaan AS memperkenalkan tarif global sementara sebanyak 10 peratus ke atas barangan import di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 yang hanya boleh dikuatkuasakan selama 150 hari, bermula 24 Februari hingga dijangka berakhir pada 24 Julai ini.

Johari berkata, kerajaan mengambil pendekatan berunding kerana tindakan perdagangan yang dibuat secara unilateral oleh AS boleh menjejaskan daya saing eksport Malaysia sekiranya tarif dikenakan pada kadar yang lebih tinggi.

“Apabila kita berdagang dengan kuasa ekonomi besar seperti Amerika Syarikat, kita perlu melihat kepentingan perdagangan dua hala. Dalam tempoh 10 tahun, jumlah perdagangan kita mencecah kira-kira RM516 bilion, manakala tahun lalu sahaja hampir RM98.6 bilion.

“Kalau kita tidak membuat ‘engagement’ pada ketika itu, kemungkinan besar tarif yang dikenakan bukan 15 peratus, mungkin boleh mencecah 40 peratus seperti yang berlaku kepada beberapa negara lain,” katanya.

Menurut beliau, tarif import yang lebih tinggi akan menyebabkan produk Malaysia hilang daya saing di pasaran AS kerana kos tambahan itu akhirnya akan meningkatkan harga jualan kepada pengguna di negara tersebut.

Beliau berkata, situasi itu boleh memberi kesan kepada syarikat pengeksport tempatan yang bergantung kepada pasaran AS.

“Apabila tarif dikenakan, produk kita akan menjadi kurang kompetitif. Sebab itu kita perlu terus berunding dan memastikan kepentingan perdagangan negara sentiasa dipertahankan.

“Bila berdagang dengan ekonomi bernilai puluhan trilion dolar seperti Amerika Syarikat, kita perlu melihat gambaran keseluruhan dan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan negara,” katanya. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN