KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah ragut di bandar raya ini berjaya diberkas polis di Jalan Masjid Zainal Abidin di sini hari ini.
Suspek berusia 29 tahun yang ditahan pada pukul 10 pagi itu disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya dua kes meragut serta cubaan meragut dan mencuri motosikal masing-masing satu kes.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sebelum ini, lelaki itu diburu kerana disyaki meragut seorang suri rumah pada 7 Mei lalu.
Beliau berkata, kejadian ragut pada pukul 10 pagi di Bazar Maidam, Jalan Masjid Abidin tersebut menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM1,500.
“Hasil risikan akhirnya berjaya memberkas suspek pagi tadi. Hasil pemeriksaan pada motosikal Yamaha Advantiz dinaikinya mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semakan pada nombor casis enjin kemudiannya mengesahkan motosikal tersebut telah dilaporkan hilang di bandar raya ini baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, siasatan awal mendapati kesemua kejadian samun dan cubaan samun berkenaan berlaku pada bulan Mei ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 392 dan Seksyen 393 akta sama. – KOSMO! ONLINE