SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 52 kes berkaitan gas petroleum cecair (LPG) membabitkan nilai rampasan berjumlah RM850,730.51 dalam Ops Gasak yang dilancarkan bermula 1 Mei lalu.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, sebanyak 1,421 premis seluruh negara telah diperiksa sehingga semalam bagi mengekang kegiatan haram seperti pemindahan LPG subsidi ke tangki industri serta penyeludupan ke luar negara.
“Daripada jumlah kes yang dicatatkan, sebanyak 11 kes dikesan di Pulau Pinang membabitkan penyelewengan berkaitan penyimpanan dan penggunaan LPG tanpa permit.
“Selain itu, ada pemborong yang turut didapati membekalkan LPG bersubsidi kepada operator yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dobi dan hotel.
“Justeru, tiada maaf untuk mereka terutamanya bagi pengusaha yang menyalahgunakan LPG domestik untuk kegunaan industri,” katanya pada sidang media Ops Gasak di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama sepasukan penguat kuasa KPDN negeri menjalankan pemeriksaan di tiga premis sekitar Seberang Perai yang menjalankan perkhidmatan cucian untuk hospital dan hotel.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis terbabit menggunakan LPG domestik tanpa permit untuk mencuci pakaian dan cadar hospital. – KOSMO! ONLINE