fbpx

‘Transporter’, drebar teksi Danok ditahan seludup bunga ganja RM1.62 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian peket mengandungi bunga ganja yang dirampas di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada semalam. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO! ONLINE

ALOR SETAR – Dua lelaki termasuk warga Thailand ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup sebanyak 45.55 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.62 juta di Bukit Kayu Hitam semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan sebuah pikap jenis Isuzu bernombor pendaftaran Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada pukul 5 petang.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penghantar kargo dan lelaki Thailand berusia lingkungan 50-an yang merupakan pemandu teksi di Pekan Danok, Thailand.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua bagasi di dalam kenderaan masing-masing mengandungi 40 peket plastik berisi bunga ganja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Menurut beliau, ini merupakan rampasan kali pertama membabitkan bunga ganja di Kedah.

“Harga pasaran bunga ganja di Thailand adalah 100,000 baht sekilogram, manakala di Malaysia RM36,000 sekilogram. Harga bunga ganja jauh lebih tinggi berbanding ganja biasa iaitu RM3,000 sekilogram,” katanya.

Fisol memberitahu, siasatan awal mendapati suspek tempatan bertindak sebagai ‘transporter’ dan mengaku beberapa kali membawa dadah ke Malaysia.

“Penyeludupan dadah itu didakwa dilakukan menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok di Kelantan dengan upah RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran,” ujarnya.

Katanya, suspek didapati positif methamphetamine dan mempunyai tiga rekod dadah termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, bunga ganja itu dipercayai untuk edaran pasaran Lembah Klang dan selatan tanah air dengan jumlah rampasan boleh digunakan seramai 30,000 orang secara kecil-kecilan.

“Maklumat berkaitan kes ini disalurkan kepada JSJN Johor untuk bantuan tindakan mengesan ‘mastermind’.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang memiliki tujuh rekod dadah dan dua jenayah serta seorang wanita berusia 38 tahun ditahan,” katanya.

Kedua-dua suspek yang ditahan di Kedah direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI