PASIR PUTEH – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang semasa keluar ke kebun di Kampung Bukit Tanah Hujung Tanjung di sini semalam dijumpai lemas di Sungai Setol hari ini.
Mayat mangsa, Saudah Mat Zin, 71, ditemukan kira-kira pukul 12.05 tengah hari selepas anggota bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan wanita itu pada pukul 9.45 pagi.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Adni Ibrahim berkata, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 14 kilometer dari balai bomba sebelum tiba pada pukul 10.01 pagi.
Menurutnya, operasi pencarian segera dilancarkan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum menjumpai wanita itu kira-kira dua jam kemudian.
“Mangsa ditemukan di dalam Sungai Setol tidak jauh dari kawasan kebun. Mangsa juga disahkan meninggal dunia semasa dijumpai.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut akan menyusul. – KOSMO! ONLINE