SEGAMAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila motosikal ditungganginya terbabas sendiri sebelum melanggar calvet di Jalan Felda Kemelah, Tenang di sini, dua hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, kejadian berlaku pada pukul 9 pagi, 12 Mei lalu dan mangsa menghembuskan nafas terakhir semalam.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal jenis Modenas yang ditunggang oleh seorang remaja lelaki berumur 12 tahun sedang bergerak dari arah Felda Kemelah menghala ke arah Tenang telah terbabas sendiri ke kiri jalan di Jalan Felda Kemelah – Tenang.
“Dalam kejadian, mangsa penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia setelah dua hari menerima rawatan di Hospital Segamat. Kes telah disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9325811. – KOSMO! ONLINE