IPOH – Seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, sementara lapan anggota FRU yang lain masih menerima rawatan rapi.
“Daripada laporan yang saya terima pagi ini, lima lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal dengan empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan dan seorang lagi di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
“Tiga mangsa lain yang sebelum ini turut menerima rawatan kini telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan kunjungan ke kediaman mendiang Sarjan S. Perumal di Lahat di sini hari ini.
Sivanesan berkata, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan semua mangsa dan ahli keluarga terbela termasuklah mereka yang parah serta waris yang kehilangan insan tersayang. – KOSMO! ONLINE