SEBERANG PERAI – Barisan Nasional (BN) akan mempertimbangkan kerjasama ‘besar’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan meneliti perkara tersebut sekali gus menangani sebarang perbezaan pandangan dalam gabungan besar itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), BN dan GRS pada PRN akan datang amat penting bagi menjamin kestabilan politik peringkat nasional dan Sabah.
Bagaimanapun, kerjasama antara tiga gabungan besar itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamad.
“Kita akan perhalusi pengumuman itu dan kita akan santuni jika ada titik-titik perbedaan bagi gabungan ketiga-tiga gabungan besar ini terutamanya untuk menentukan bahawa kerusi-kerusi yang akan kita tandingi tidak bertindih antara satu sama lain.
“Satu pegangan UMNO ialah mana-mana kerusi yang telah ditandingj oleh UMNO dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) itu lari ke mana-mana parti, kita wajib untuk menuntut kerusi itu.
“Malah ada beberapa kerusi yang pada UMNO yang dahulunya telah dipersetujukan untuk ditandingi oleh UMNO, tetapi di saat akhir berlaku suatu manipulasi yang akhirnya empat kerusi itu telah ditandingi oleh bekas pemimpin UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah.
Media sebelum ini melaporkan, BN dan PH bersepakat menjalin kerjasama dalam PRN17 Sabah menerusi kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – KOSMO! ONLINE