KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ‘lambat panas’ ketika bangkit mencatat kemenangan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara dunia itu bangkit menewaskan beregu Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo menerusi keputusan tiga set 19-21, 21-10, 21-12 dalam tempoh 45 minit.
Aaron-Wooi Yik tersentak seketika apabila pemain lawan memberikan tentangan cukup sengit di set pertama sebelum tewas 19-21, sekali gus memaksa gandingan No.2 dunia berkenaan untuk memperbaiki permainan.
Memasuki set kedua, anak-anak buah Herry Iman Pierngadi itu menampilkan aksi penuh dominan apabila mendahului permainan dengan jurang mata cukup besar 14-3 dan meletakkan kedudukan dalam keadaan selesa.
Walaupun Koh-Kubo cuba merapatkan kedudukan, namun Aaron-Wooi Yik berjaya mengekalkan fokus sebelum menang 21-10 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bersambung set ketiga, pada awalnya perlawanan berlangsung sengit apabila beregu negara hanya mendahului 8-6, namun kembali memperkemaskan permainan untuk melebarkan perbezaan mata 12-7 sebelum menang 21-12.
Terdahulu, dua lagi wakil Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Chia Wei Jie-Teo Ee Yi turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














