PADA awal usia 20-an, Iqram Dinzly cukup dikenali sebagai pelakon berbakat besar selain berimej kemas sehingga menjadi kegilaan ramai wanita.
Namun, entah di mana silapnya karier penari merangkap model itu semakin perlahan apatah lagi dengan kemunculan ramai bakat baharu.
Sekitar 2022 Iqram tampil dengan perwatakan berbeza sehingga tercetus pelbagai spekulasi.
Dia bukan sahaja didakwa tidak waras dalam media sosial bahkan dikatakan sengaja mempersendakan Islam apabila melakukan aksi-aksi aneh.
Bagaimanapun, kini pemilik nama lengkap Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, itu dilihat lebih tenang dan kembali aktif dalam dunia lakonan.
Kali ini, dia muncul dengan drama terbaharu Viu berjudul Pabila Dia Tersenyum membawakan watak lelaki narsisistik bernama Imran.
Katanya, karakter itu tiada kena-mengena dengan dirinya yang sedang berusaha untuk menjadi insan lebih baik.
“Pada awalnya saya tak suka watak ini. Tertanya-tanya juga kenapa saya dipilih, hakikatnya sengsara juga nak jayakan.
“Sejujurnya, ini karakter paling rimas untuk saya bawakan sepanjang bergelar pelakon. Watak narsisistik ada kaitan dengan kemurungan dan itu tak kena dengan diri saya.
“Ikutkan saya nak buang semua sifat antagonis, tetapi watak itu bertembung dengan roh. Saya tak yakin tetapi apabila disunting, nampak cantik,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, Iqram tetap menjayakan watak Imran dengan harapan dapat membuka mata ibu bapa untuk lebih mengenali anak-anak yang berdepan masalah mental.
“Sepanjang menjayakan karakter ini, saya sangat tidak okey tapi ambil juga tawaran kerana suka mengkaji tentang kesihatan mental. Apa yang saya perhatikan, zaman sekarang ramai narsisistik.
“Melalui lakonan ini, saya nak bagi kesedaran terutama kepada ibu bapa untuk awasi anak generasi kini yang ada masalah mental yang kritikal. Mereka nampak tenang tapi dalamannya bergolak,” jelasnya.
Enggan sentuh, kekerasan
Selain itu, Iqram memaklumkan tidak berminat menerima tawaran menuntutnya bersentuhan dengan wanita lebih-lebih lagi membabitkan adegan kasar.
Namun, dalam Pabila Dia Tersenyum dia terpaksa melakukannya, meminta maaf dan mohon izin Alyah Iman sebelum penggambaran bermula.
“Kalau boleh saya tidak mahu lagi melakonkan adegan bersentuhan serta berkasar dengan wanita. Zaman muda dahulu buat tetapi kini saya risau banyak benda dan mahu menyantuni regu lakonan.
“Saya minta maaf awal-awal sebelum melakonkan adegan itu. Dengan Alya Iman misalnya, saya minta izin pegang kepala tapi dia sangat profesional walau kena pukul dan hentak. Cuma dia pesan jangan tarik rambut kuat-kuat sebab dia pakai ‘extension’.
“Pendek kata, memang sekarang saya akan minta izin dulu kalau ada babak tampar. Syukur saya berjaya lakukannya berkat bantuan pengarah dan pelakon lain juga,” katanya mengakhiri bicara.