fbpx
WATAK anak lelaki manja di sisi Sarimah dalam Bila Cinta Menjadi Dosa memberi impak positif apabila Marc Syahmie semakin dikenali peminat.

‘Lucu, ramai kata saya dan Sarimah ada pertalian darah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JEJAKA dengan nama pentas Marc Syahmie ini tiba-tiba sahaja menjadi susuk popular selepas membawakan watak Amar dalam drama Bila Cinta Menjadi Dosa yang ditayangkan menerusi slot Lestary TV3.

Bergandingan buat pertama kalinya dengan selebriti versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai ibu dan anak dalam drama arahan Shuhaimi Lua itu secara tidak langsung telah melonjakkan namanya dalam bidang lakonan.

Masih segar dalam ingatan Syahmie atau nama sebenarnya, Ahmad Syahmie Mahayudin, 26, debaran ketika pertama kali bertemu dengan Sarimah di set penggambaran.

“Saya pelakon baharu dan kita tahu status Sarimah sebagai Che Puan, selain dia juga pelakon yang hebat, jadi saya rasa sangat kerdil.

“Namun, keramahan Sarimah yang saya panggil mommy di set penggambaran membuatkan kami cepat serasi.

“Bahkan semasa adegan saya diculik dan dipukul, Sarimah benar-benar periksa badan saya untuk memastikan tiada kecederaan, sama seperti ibu betul ,” ujar Syahmie yang memulakan karier seni menerusi program Fit For Action pada 2022.

Tambah Syahmie, dalam drama berkenaan dia perlu melakonkan karakter manja, terutama dengan Sarimah dan tidak menyangka keserasian gandingan mereka membuatkan ada peminat menyangka Sarimah adalah ibu kandungnya.

“Saya terima banyak komen dalam media sosial yang mengatakan wajah kami seiras dan nampak rapat yang menyebabkan ada penonton ingat Sarimah benar-benar ibu saya atau mempunyai pertalian keluarga.

“Memang agak lucu kerana kami tiada pertalian darah, sebaliknya hanya ibu dan anak dalam drama. Tetapi komen sedemikian cukup bermakna kerana lakonan saya diterima penonton,” jelas Syahmie.

BERADA di tahun akhir pengajian dalam jurusan sains sukan, pelakon yang turut bergiat dalam dunia peragaan ini juga sedang berjinak-jinak dengan perniagaan.

Kelas lakonan

Sambung Syahmie lagi, meskipun penggambaran telah tamat, hubungan mereka masih rapat sehingga kini.

“Selepas tamat penggambaran jika berjumpa, Sarimah tetap panggil saya dengan nama Amar dan saya akan panggilnya mommy,” ujar Syahmie.

Sementara itu, peluang bergandingan dengan ramai pelakon senior lain seperti Zamarul Hisyam, Jasmin Hamid, Elizad Shariguddin dan Maria Farida, ibarat menghadiri kelas lakonan secara percuma.

Kata Syamie, pelakon senior tidak lokek mencurahkan ilmu kepada mereka yang benar-benar serius untuk bekerja dalam industri lakonan.

Dalam perkembangan lain, Syahmie yang telah pulih 100 peratus dari penyakit kanser yang dihidapinya tahun lalu bakal terlibat dalam sebuah filem tentang sukan badminton selain sibuk dalam bidang peragaan.

“Alhamdulillah, karier seni berjalan dengan baik dan saya juga berada pada tahun akhir pengajian dalam bidang Sains Sukan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara, UiTM, Shah Alam.

“Perjalanan karier saya masih panjang dan saya berharap agar karya-karya lakonan saya mendapat sokongan ramai,” tutur Syahmie menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN