MEMBESARKAN anak-anak angkat yang juga penghidap virus kurang imun (HIV) dan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) selama lebih dua dekad bukanlah perjuangan yang mudah.
Begitupun Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi berkata, perjuangan yang dilakukan bukan sekadar berkisar 25 tahun itu bahkan tidak akan berhenti sehingga hembusan nafasnya yang terakhir.
Sejak tahun 2001, hidup Norlina atau lebih mesra disapa Mama, 55, tidak lagi hanya berkisar tentang dirinya sendiri.
Setiap pagi membuka mata dan setiap malam yang menutup lelah, seluruh perjalanan hidup wanita berjiwa besar ini diisi dan ditemani anak-anak anugerahnya.
“Saya sudah menanamkan niat sejak dahulu lagi untuk mewakafkan diri, kudrat, masa dan wang kerana Allah.
“Sebenarnya inilah dinamakan cinta tanpa sempadan kepada Allah yang diterjemahkan kepada golongan memerlukan,” katanya tatkala membuka bicara bersama K-Wanita ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut anak jati Kluang, Johor yang juga penerima Anugerah Keluarga Berjasa dianugerahkan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 itu, tahun ini genap suku abad dia menggalas amanah sebagai ‘mama’ kepada puluhan anak-anak yatim, anak-anak pesakit HIV/AIDS, anak terbiar, asnaf, mualaf, anak bukan warganegara serta mereka yang pernah tersisih daripada perhatian masyarakat.
Ironinya tidak ada panggilan atau gelaran anak yatim di rumahnya, mereka semua anak-anak anugerah yang diamanahkan Allah kepadanya.
Sepanjang tempoh itu, dia telah membesarkan anak-anak daripada pelbagai latar belakang di bawah satu bumbung.
Di kediamannya sendiri yang terletak di Cheras Baru, Kuala Lumpur, Norlina menanam nilai kasih sayang tidak ubah seperti peranan ibu kandung di dunia ini.

Di sebalik senyuman manisnya, tersimpan ketabahan seorang wanita yang memilih untuk mengabdikan sebahagian besar hidupnya kepada perjuangan kemanusiaan.
Hatinya tekad untuk membentuk setiap seorang daripada mereka yang pernah hadir dalam hidupnya agar berani melangkah keluar sebagai insan yang bermaruah serta mempunyai masa hadapan lebih baik.
Bagi Norlina, keluarga tidak diukur melalui pertalian darah atau keturunan, sebaliknya lahir daripada hati yang ikhlas menerima, mendidik dan mencintai tanpa syarat.
“Bagi saya, keluarga itu bukan semestinya datang dari rahim yang sama kerana saya sendiri mempunyai tujuh anak kandung.
“Boleh sahaja kalau saya mahu duduk diam-diam di rumah dan membesarkan mereka.
“Namun, hidup kita ada pilihan dan apabila saya membuka hati kepada seorang bayi lelaki 25 tahun lalu yang terkial-kial mencari hangat seteguk susu ibu, rupanya detik itu telah membuka lebih banyak pintu kepada anak-anak yang pernah kehilangan tempat bergantung,” katanya.
Nama Norlina hari ini cukup sinonim dalam dunia kebajikan dan kerja-kerja kemasyarakatan tanah air, terutama menerusi penubuhan Pernim sejak 2004.

Menurut anak kedua daripada sembilan beradik ini, Pernim diwujudkan hasil semangat juangnya melihat sendiri realiti kehidupan anak-anak yang kehilangan dan dahagakan kasih sayang, perlindungan serta peluang menikmati kehidupan seperti insan lain.
“Ketika itu saya melihat ada anak-anak yang bukan sahaja kehilangan ibu bapa tetapi turut hilang tempat bergantung untuk meneruskan hidup.
“Dalam hati saya terdetik, kalau bukan kita yang membuka pintu untuk mereka, siapa lagi?” tanyanya.
Bermula daripada niat yang sederhana, perjalanan itu akhirnya berkembang menjadi satu misi kehidupan yang terus subur sehingga hari ini. Melalui Pernim, Norlina menyediakan perlindungan, pendidikan, bimbingan emosi, pembangunan sahsiah dan sokongan kehidupan kepada golongan kurang bernasib baik.
Bukan sesuatu yang mudah menormalisasikan ‘orang luar’ termasuk anak pesakit HIV/AIDS, anak yatim, asnaf, mualaf, anak Orang Asli, anak terbiar serta mereka yang datang daripada keluarga bermasalah dan tinggal bersama di bawah satu bumbung. Namun, itulah yang dilakukan Norlina.
Sepanjang lebih dua dekad, ratusan kanak-kanak dan remaja telah menerima manfaat daripada usaha murni tersebut.
Pernah pada suatu masa jumlah anak di bawah jagaannya mencecah lebih 80 orang dengan lebih sekilo susu dan 60 keping lampin pakai buang diperlukan.
Daripada pengalaman itulah lahirnya konsep Keluarga Besar Norlina Alawi, sebuah institusi kehidupan yang dibina atas asas kasih sayang, disiplin, pendidikan dan rasa memiliki.
“Bila mereka menangis, saya turut rasa sakitnya. Bila mereka berjaya, saya rasa seperti seorang ibu yang melihat anak sendiri melangkah ke pentas kejayaan. Itulah kebahagiaan sebenar dalam hidup ini,” katanya.
Namun perjalanan selama 25 tahun itu tidak pernah sunyi daripada cabaran dan pelbagai ujian. Antara ujian terbesar yang dihadapi adalah memastikan sumber kewangan sentiasa mencukupi bagi menampung kos makanan, pendidikan, rawatan, pengangkutan serta keperluan harian keluarga besarnya.
Selain itu, dia juga pernah berdepan stigma sesetengah masyarakat yang masih kurang memahami isu melibatkan anak-anak yang mempunyai kaitan dengan HIV/AIDS.
“Pelbagai ujian yang kami hadapi, mereka kata saya gila, sekadar berlakon dan gila glamor kerana membela anak ramai.
“Mereka halau anak-anak kerana bermain di taman kerana bimbang dijangkiti, laporan demi laporan palsu kepada pihak berkuasa dilakukan, namun itulah harga yang perlu dibayar untuk secebis fardu kifayah ini,” katanya tenang.
Lebih menyentuh jiwa, cabaran paling berat sebenarnya adalah dari segi ketahanan emosi dan mental anak-anak.
“Ada yang datang dengan seribu luka, trauma dan kisah hidup yang sangat menyentuh hati. Kita mungkin nampak mereka kuat di luar tetapi sangat rapuh di dalam. Sebab itu ada antaranya yang dalam diam memberontak kerana gagal meluahkan perasaan yang terbuku.
“Syukurlah selepas itu mereka boleh menerima kelebihan dan kekurangan dan kami sama-sama terus berjuang,” katanya.
Bagi memastikan Pernim terus bernafas, Norlina turut mengusahakan pelbagai cabang keusahawanan termasuk katering, produk makanan, pes masakan, fesyen serta program pembangunan diri.
Setiap hasil yang diperoleh disalurkan semula untuk memastikan keluarga besar yang dibinanya terus berdiri kukuh.
Dia juga memastikan pendidikan anak-anak berada di tingkat paling atas.
“Saya pahatkan dahulu semangat dalam jiwa tujuh anak-anak kandung untuk berjaya di menara gading dan anak-anak anugerah saya beri pilihan.
“Jika berjaya dalam akademik mereka jejakkan langkah ke institusi pengajian tinggi (IPT), jika tidak, saya tetap hantar mereka ke kolej-kolej kemahiran. Pada akhirnya mereka mesti berdikari, membina keluarga sendiri dan mencapai kejayaan hidup dengan bermaruah,” ujarnya.
Kisah perjalanan hidup wanita tabah dan kental ini turut diabadikan menerusi autobiografi Aku Seorang Norlina Alawi yang ditulis penulis terkenal Lily Haslina Nasir. Buku tersebut merakamkan perjalanan penuh air mata, pengorbanan, ketabahan serta cinta yang tidak pernah mengenal sempadan.
Perjuangan Norlina turut mendapat perhatian dunia akademik apabila menjadi bahan kajian oleh beberapa IPT tempatan berkaitan kepimpinan wanita, keusahawanan sosial dan pengurusan organisasi kebajikan.
Walaupun pernah diangkat sebagai ikon perjuangan kemanusiaan daripada pelbagai kategori sejak 2004, Norlina menerima penghormatan itu dengan penuh rendah diri.
“Pengiktirafan paling besar bagi saya bukan gelaran mahupun anugerah.
“Hadiah sebenar adalah apabila anak-anak yang pernah datang dengan air mata, akhirnya mampu berdiri dengan senyuman dan kejayaan.
“Atas alasan itu yang mendorong saya bersama Lily Haslina hasilkan autobiografi bertajuk Aku Seorang Norlina Alawi – Dua Dekad Perjuangan Cinta Tanpa Sempadan.
“Sempena 25 tahun saya memelihara Muhamad Iman Roslan, anak pertama Pernim serta anak-anak anugerah lain, tahun ini saya mahu mewakafkan 500 naskah buku tersebut.
“Fokus saya kepada mana-mana perpustakaan di seluruh Malaysia termasuk di luar negara serta pusat bacaan yang terpilih untuk memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat berkongsi ilmu kemanusiaan,” katanya.
Norlina terharu bekerjasama dengan Nuansa Bookstore menerbitkan e-buku ilham dari buku bercetak sebelum ini supaya sebaran mengenai autobiografinya lebih meluas. Buku tersebut adalah legasi kepada anak-anak yang pernah hadir dalam hidupnya serta perkongsian hati kepada orang ramai.
















