fbpx
Gambar hiasan

Hanya 1.9 juta rakyat B40 saja gunakan PeKa B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA- Hanya 1.9 juta rakyat Malaysia daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) menjalani saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) setakat ini, meskipun lebih 7 juta individu layak menikmati manfaat program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd., Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata, kadar penerimaan terhadap program tersebut pada peringkat awal agak perlahan kerana ramai rakyat melihat saringan kesihatan percuma sebagai satu keutamaan.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan pihaknya kini menukar pendekatan komunikasi dan pemasaran bagi menarik lebih ramai golongan berisiko menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal.

“Kami mendapati ada campuran faktor mengapa penerimaan masih perlahan. Selama ini kami banyak menggunakan naratif saringan percuma.

“Tetapi apabila melibatkan golongan B40, mungkin itu bukan faktor utama yang mendorong mereka untuk hadir menjalani saringan,” katanya dalam taklimat kesihatan bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada golongan berusia 40 hingga 50 tahun yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Katanya, pendekatan baharu itu akan lebih menekankan aspek masa depan keluarga dan kepentingan menjaga kesihatan sebelum penyakit menjadi serius.

“Mungkin mereka tidak terlalu memikirkan soal kesihatan sekarang, tetapi mereka akan fikir bagaimana mahu menyara keluarga apabila usia semakin meningkat. Itulah naratif yang kami cuba bawa dalam pendekatan baharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hazwan berkata, hasil saringan yang dijalankan mendapati 46 peratus daripada individu yang diperiksa mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit baharu yang sebelum ini tidak disedari.

Katanya, pengesanan awal itu penting bagi membolehkan rawatan dan intervensi dilakukan sebelum penyakit menjadi lebih serius serta memerlukan kos rawatan lebih tinggi.

“Ini sebenarnya matlamat utama PeKa B40, iaitu memastikan penyakit dapat dikesan lebih awal supaya rawatan boleh diberikan lebih cepat dan efektif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN