MIAMI – Pelumba pasukan McLaren, Oscar Piastri terus menarik perhatian dunia Formula Satu (F1) apabila mencatat kemenangan bergaya di Grand Prix (GP) Miami baru-baru ini sekali gus melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan dunia musim ini.
Kejayaan itu menyaksikan Piastri meraih kemenangan keempat musim ini dan kini berada 16 mata di hadapan dalam carta pemandu keseluruhan.
Ketenangan Piastri menghadapi tekanan turut mendapat perhatian bekas juara dunia 2009, Jenson Button yang menyamakan keupayaan Piastri mengawal perlumbaan seperti Lewis Hamilton.
“Seperti saya katakan ketika menemu bualnya selepas perlumbaan, kelajuan yang dimilikinya kini benar-benar luar biasa.
“Dia (Piastri) banyak meningkat sepanjang tahun lalu. Apabila mendahului, dia sangat bijak mengawal perlumbaan. Hamilton sebelum ini adalah raja dalam aspek ini dan kini Piastri mengikut jejak langkahnya.
“Dia sangat tenang, tidak mudah terpengaruh dengan tekanan dan ini menjadikan dia bersedia untuk merebut kejuaraan musim ini,” kata Button.
Di Miami, Piastri mengambil kesempatan daripada insiden di pusingan pertama melibatkan juara bertahan dari Red Bull, Max Verstappen dan Lando Norris yang menyaksikan rakan sepasukannya di McLaren itu tergelincir ke tangga keenam.
Selepas beberapa pusingan bersaing sengit dengan Verstappen, Piastri berjaya memintas juara dunia tiga kali itu dan terus menjarakkan diri untuk muncul juara. – AGENSI