NEW DELHI – Beberapa letupan kuat kedengaran di Kashmir meskipun India dan Pakistan telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata, lapor akhbar Metro UK.
Konflik dua negara bersenjata nuklear itu semakin meruncing apabila kedua-duanya meningkatkan serangan sambil menyalahkan satu sama lain kerana melanggar perjanjian tersebut.
New Delhi dan Islamabad terdahulu bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata susulan rundingan panjang dengan Amerika Syarikat selaku pengantara semalam.
Namun, letupan kedengaran di Kashmir yang dikuasai India hanya beberapa jam selepas perjanjian gencatan senjata dipersetujui.
India menuduh Pakistan melakukan pelanggaran berulang sambil menambah bahawa angkatan tenteranya memberi tindak balas setimpal.
Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata, terdapat pelanggaran berulang terhadap persefahaman di antara kedua-dua negara mengenai penghentian serangan.
Kementerian Luar Pakistan pula menyalahkan tentera India kerana memulakan pelanggaran gencatan senjata.
“Pakistan tetap komited untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dan tentera kami akan menangani keadaan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.
“Kami percaya bahawa sebarang isu dalam kelancaran pelaksanaan gencatan senjata harus ditangani melalui komunikasi pada tahap yang sesuai,” tambah kementerian itu. – AGENSI