BARCELONA – Peluang Barcelona untuk mendakap gelaran trebel ketiga musim ini dengan menjulang kejuaraan La Liga dilihat amat cerah sekiranya berjaya memenangi pertembungan El Clasico dengan menewaskan Real Madrid malam ini.
Kemenangan ke atas seteru tradisi di Stadium Lluis Companys Olympic itu membolehkan Barcelona melebarkan penguasaan di tangga teratas dengan kelebihan tujuh mata dalam saingan berbaki tiga lagi aksi untuk tamat.
Pengendali Barcelona, Hansi Flick menggesa barisan pemainnya agar menunjukkan kemahuan tinggi dan menjadikan aksi El Clasico itu sebagai pentas menebus kekecewaan selepas gagal mara ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
“Biar apa terjadi, kami mahu memenangi perlawanan ini. Keputusan ini akan menentukan sama ada kami boleh memenangi La Liga atau kembali membuka peluang buat mereka (Real),” katanya.
Sekiranya berjaya menewaskan Real, Barcelona hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada baki tiga aksi untuk mengesahkan kejuaraan La Liga ke-28, sekali gus menjadi trofi ketiga musim ini selepas menang Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol musim ini.
Ia secara tidak langsung menyaksikan Real menamatkan kempen musim ini tanpa memenangi sebarang trofi selepas gergasi Eropah itu tersingkir di peringkat suku akhir UCL di tangan Arsenal.
Meskipun bakal turun tanpa Jules Kounde, namun Barcelona kembali diperkuatkan dengan kehadiran penggempur berpengalaman, Robert Lewandowski untuk merobek gawang Real malam ini.
Lewandowski bakal menjadi sandaran terbaik memandangkan Real bakal beraksi tanpa ramai pemain utama kerana kecederaan dan penggantungan perlawanan seperti Eder Militao, Antonio Rudiger, Dani Carvajal, Ferland Mendy, David Alaba serta Eduardo Camavinga. – AGENSI